Mengapa ada sang hitam bila putih menyenangkan....
Namun bila difikirkan kembali, ada hikmahnya setiap perasaan yang Tuhan ciptakan itu. Bayangkan jika kita sebagai manusia hanya tahu erti kesenangan dan kegembiraan sepanjang masa. Setiap hari cuma bergelak ketawa dan bersuka ria tanpa batasan. Akan ingatkah kita pada Yang Maha Mencipta? Ingatkah kita pada Dia yang memberikan nikmat kegembiraan itu kepada kita? Mungkin tidak kerana secara lumrahnya, kita hanya akan perlukan tempat bergantung apabila susah. Kita hanya akan ingat tentang kesenangan apabila kita ditimpa kesusahan. Dan kita hanya akan tahu menghargai sesuatu apabila kita telah kehilangannya buat selama-lamanya.
Jika semua manusia gembira dan hidup senang, dapatkah kita berkongsi perasaan dan cuba untuk memahami antara satu sama lain? Mungkin tidak kerana masing-masing tidak perlukan sesiapa untuk berkongsi. Semua orang gembira dan tiada masalah yang perlu dikongsi. No more term sharing is caring. Cabaran hidup juga hilang. Tidak perlu lagi kita berjuang untuk hidup. Semuanya senang. Mungkin kita fikir kita akan bahagia jika semuanya indah. Namun, suatu hari nanti rasanya kita akan mula bertanya, 'di manakah indahnya hidup ini jika semuanya indah?'
Aku meninjau kembali sejarah hidup aku. Memang...semuanya bercampur baur. Bukan semua jalan yang aku telah lalui itu jalan yang amat menyenangkan. Banyak juga jalan penuh duri dan liku yang aku lalui. Aku sedar, setiap cabaran dan dugaan yang aku lalui hanya untuk menguji dan membentuk diri ke arah yang lebih baik. Aku bukanlah insan sempurna namun aku akan cuba untuk menjadi yang terbaik. Aku tidak ingin mensia-siakan hidup sendiri yang sememangnya hanya sementara.
Kebelakangan ini, aku asyik teringatkan kenangan-kenangan lalu yang membawa kesedihan. Mungkin kerana banyak peristiwa dalam minggu-minggu ini yang lebih menyedihkan berbanding menggembirakan. Aku cuba menulis hari ini untuk meringankan sedikit minda. Mungkin dengan menulis, separuh kenangan itu akan terlakar di tulisan berbanding di minda. Namun aku sedar tidak semudah itu untuk meluputkan kenangan tak terindah.. Kenangan yang kadang-kadang menghantui diri sehingga ke hari ini. Mungkin hanya masa dan keadaan yang boleh menyembuhkan.
Hari ini dan hari seterusnya, aku ingin sekali kembali ceria. Kenangan biarlah menjadi kenangan. Tidak perlu diungkit-ungkit. Andainya kenangan tak terindah itu datang, ingin sekali aku jadikannya sempadan, sempadan yang tidak perlu aku lintasi lagi buat selamanya. Namun sejauh manakah aku boleh lari daripada bayang-bayang sendiri. Kenangan itu telah sebati menjadi sebahagian daripada hidup aku. Yang boleh aku buat sekarang hanyalah cuba untuk membendungnya dari menguasai minda. Tapi sejauh manakah aku akan mampu bertahan.
Aku cuma mampu berharap Allah akan memberikan kekuatan dan kesabaran untuk aku terus menempuhi jalan-jalan sukar. Amin.
No comments:
Post a Comment