Thursday, January 17

Mengapa ada derita bila bahagia tercipta...

Mengapa ada derita bila bahagia tercipta,


Mengapa ada sang hitam bila putih menyenangkan....



Petikan lagu Sheila On 7 yang membuatkan aku berfikir sejenak tentang kehidupan. Mengapa perlu ada kesedihan sedangkan kegembiraan itu sudah cukup menyenangkan? Mengapa perlu ada tangisan sedangkan gelak ketawa itu begitu meriangkan? Aku sendiri tidak mengerti. Tiada jawapan yang begitu pasti untuk aku berikan mengenai persoalan-persoalan sebegitu. Aku hanya dapat menjawab di dalam hati, 'ini adalah lumrah hidup'.

Namun bila difikirkan kembali, ada hikmahnya setiap perasaan yang Tuhan ciptakan itu. Bayangkan jika kita sebagai manusia hanya tahu erti kesenangan dan kegembiraan sepanjang masa. Setiap hari cuma bergelak ketawa dan bersuka ria tanpa batasan. Akan ingatkah kita pada Yang Maha Mencipta? Ingatkah kita pada Dia yang memberikan nikmat kegembiraan itu kepada kita? Mungkin tidak kerana secara lumrahnya, kita hanya akan perlukan tempat bergantung apabila susah. Kita hanya akan ingat tentang kesenangan apabila kita ditimpa kesusahan. Dan kita hanya akan tahu menghargai sesuatu apabila kita telah kehilangannya buat selama-lamanya.


Jika semua manusia gembira dan hidup senang, dapatkah kita berkongsi perasaan dan cuba untuk memahami antara satu sama lain? Mungkin tidak kerana masing-masing tidak perlukan sesiapa untuk berkongsi. Semua orang gembira dan tiada masalah yang perlu dikongsi. No more term sharing is caring. Cabaran hidup juga hilang. Tidak perlu lagi kita berjuang untuk hidup. Semuanya senang. Mungkin kita fikir kita akan bahagia jika semuanya indah. Namun, suatu hari nanti rasanya kita akan mula bertanya, 'di manakah indahnya hidup ini jika semuanya indah?'



Aku meninjau kembali sejarah hidup aku. Memang...semuanya bercampur baur. Bukan semua jalan yang aku telah lalui itu jalan yang amat menyenangkan. Banyak juga jalan penuh duri dan liku yang aku lalui. Aku sedar, setiap cabaran dan dugaan yang aku lalui hanya untuk menguji dan membentuk diri ke arah yang lebih baik. Aku bukanlah insan sempurna namun aku akan cuba untuk menjadi yang terbaik. Aku tidak ingin mensia-siakan hidup sendiri yang sememangnya hanya sementara.



Kebelakangan ini, aku asyik teringatkan kenangan-kenangan lalu yang membawa kesedihan. Mungkin kerana banyak peristiwa dalam minggu-minggu ini yang lebih menyedihkan berbanding menggembirakan. Aku cuba menulis hari ini untuk meringankan sedikit minda. Mungkin dengan menulis, separuh kenangan itu akan terlakar di tulisan berbanding di minda. Namun aku sedar tidak semudah itu untuk meluputkan kenangan tak terindah.. Kenangan yang kadang-kadang menghantui diri sehingga ke hari ini. Mungkin hanya masa dan keadaan yang boleh menyembuhkan.



Hari ini dan hari seterusnya, aku ingin sekali kembali ceria. Kenangan biarlah menjadi kenangan. Tidak perlu diungkit-ungkit. Andainya kenangan tak terindah itu datang, ingin sekali aku jadikannya sempadan, sempadan yang tidak perlu aku lintasi lagi buat selamanya. Namun sejauh manakah aku boleh lari daripada bayang-bayang sendiri. Kenangan itu telah sebati menjadi sebahagian daripada hidup aku. Yang boleh aku buat sekarang hanyalah cuba untuk membendungnya dari menguasai minda. Tapi sejauh manakah aku akan mampu bertahan.

Aku cuma mampu berharap Allah akan memberikan kekuatan dan kesabaran untuk aku terus menempuhi jalan-jalan sukar. Amin.

Thursday, January 10

Pemandangan itu...


Pemandangan yang indah amatlah diperlukan untuk menangkap gambar landskap (btul ke ejaan ni..??) yang baik.....mungkin betul......tapi mungkin juga tidak..jurukamera yang hebat tentu boleh menjadikan pemandangan yang kurang indah menjadi indah. People will see something according to what the photographer wants it to be seen. Ewah..tapi aku taklah sehebat itu..entah bilakah aku boleh menjadi sehebat itu..huhuhu :D




Di saat kebosanan ini, aku mengupload gambar-gambar yang diambil tahun lepas...ni kat kampung halaman aku..Tanah serendah sekebun bunga..hehehe. :D


Now sekarang lo ni, aku rindu sesangat dengan pemandangan-pemandangan ini. Mungkin bila balik sekali lagi ke kampung halaman, pemandangan seperti ini sudah tiada. Terlalu banyak pembangunan di kampungku sekarang. Betapa ruginya generasi akan datang yang mungkin tidak akan bertemu mata dengan keindahan alam.


Saturday, January 5


Some of my latest work on macro shots, droplets. Not so latest though...it has been about two months I didn't do any macro shoot. How I wish that I am beside that tiny little droplets right now..!







Thats all..macro shots is quite simple actually. Most of entry level cameras are good for macro shots. I would love to capture nice landscape photography but I think it will not be enough with my current tools.

Photos taken by me. Do not redistribute or repost anywhere without permission. (wahahaha.. )


Thursday, January 3

Setahun berlalu lagi...

Setahun berlalu lagi, meninggalkan seribu satu kenangan pahit manis yang tidak mungkin dapat dilupakan buat selama-lamanya. Mungkin banyak kenangan yang pahit, mungkin juga banyak kenangan manisnya. Hanya diri sendiri yang mengerti sejauh mana kegembiraan atau pun kesedihan dan penderitaan yang telah dialami. Orang kata, yang berlalu biarlah berlalu. Yang mendatang harus dilalui dengan penuh azam dan iltizam. Mungkin orang boleh kata apa saja kerana bukan mereka yang melalui jalan seperti yang kita lalui.

Setahun berlalu lagi, aku masih lagi bernafas di Bumi-Mu yang indah ini. Alhamdulillah. Aku panjatkan kesyukuran yang teramat kepada-Mu Ya Allah kerana aku masih dapat merasai indahnya hembusan bayu, aku masih lagi dapat melihat sayupnya mentari senja, dan aku masih dapat lagi mendengar merdunya alunan suara alam. Yang paling penting, aku masih lagi dapat bersama orang-orang yang aku sayangi. Alhamdulillah...

Setahun berlalu lagi, masihkah aku dengan resolusi lama yang mungkin tidak dapat aku capai? Masihkah aku dengan angan-angan lama yang terus diulang-ulang hingga aku sendiri naik jemu? Masihkah aku mengharapkan pada yang tidak pernah sudi? Mungkin ya...mungkin tidak. Hanya masa akan menentukan. Perlukah aku menunggu sehingga setahun lagi? Atau perlukah aku hanya meluputkan segala yang tidak tercapai itu hingga tinggal menjadi kenangan. Yang aku tahu, kalaulah ia menjadi kenangan, kenangan ini bukanlah kenangan yang terindah.

Setahun berlalu lagi, perlukah aku mengutuskan resolusi baru yang mungkin tidak akan dapat aku capai hingga ke penghujung tahun nanti? Perlukah aku melakarkan satu lagi resolusi demi melenyapkan resolusi semalam yang masih lagi menjadi igauan di saat tidur malamku. Perlukah? Aku sendiri tidak mengerti. Kadang-kadang, bagi aku resolusi itu hanyalah ilusi yang menjadi mainan apabila tiba tahun baru. Melakarkan resolusi untuk berubah, tapi realitinya, resolusi itu hanya meletus di bibir. Tiada niat dan perlakuan sebenar yang menuju ke arah mencapai resolusi itu. Sedar tak sedar, setahun berlalu, dan resolusi itu tidak pernah dicapai.



Setahun berlalu lagi, aku hanya dapat merancang ke jalan manakah yang patut dan ingin aku jejaki. Namun yang menentukan segalanya hanyalah Dia. Semoga setahun yang bakal mendatang akan lebih baik dari tahun yang telah berlalu.Semoga jalan yang aku bakal lalui disenangkan laluannya dan menjurus ke arah kebaikan...Amin.