Monday, September 17

Kerana teknologi kita terleka


Teknologi merupakan satu medium yang amat penting dalam membantu kita melakukan pelbagai tugasan seharian. Namun dalam tak sedar teknologi jugalah yang banyak melekakan kita. Mungkin ada yang sedar dan buat buat tidak sedar. Dan mungkin ada juga yang langsung terus menerus tidak sedar. Mungkin saya termasuk dalam kategori pertama..sedar tapi buat buat tidak sedar kerana sudah terlalu biasa. Alah tegal bisa biasa. Terserahlah pada diri sendiri untuk menilai.

Menyentuh tentang teknologi, salah satu teknologi yang begitu banyak melekakan kita (mungkin bukan semua orang tapi kebanyakannya) ialah komputer. Betapa zaman Information Technology (IT) membuatkan kita begitu leka. Kalau dulu tidak banyak yang mengenali komputer tapi kini rasanya setiap rumah pastinya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah komputer. Kempen 'satu rumah satu komputer' ternyata berjaya dari segi kuantitinya. Dari segi kualiti? Siapa yang tahu. Tiada pun survey untuk menilai sejauh mana komputer di setiap rumah itu digunakan untuk tujuan yang baik.

Mungkin ramai yang menggunakan komputer hanya untuk tujuan yang berguna dan ilmiah semata-mata. Namun, dalam tak sedar, banyak juga yang menggunakan komputer untuk tujuan-tujuan yang melekakan. Mungkin ada yang menggunakan komputer kedua-dua tujuan sekaligus; infotainment (Satu perkataan baru yang pernah diterbitkan dari gabungan information dan entertainment, menunjukkan betapa versatilnya Bahasa Melayu. Mungkin sebab inilah Bahasa Melayu selalu dirojakkan).

Persoalannya, kenapakan saya mengutarakan teknologi komputer ini sebagai suatu medium yang lebih melekakan berbanding membantu dari segi ilmiah? Sebab yang terbesar tentulah kerana pengguna komputer itu sendiri yang lebih mengutamakan hiburan. Lihat sahaja contoh di bawah:

1. Kita bermain permainan komputer (computer games) sehingga larut malam, mungkin sehingga awal pagi tanpa mengendahkan kelas yang sepatutnya dihadiri pada jam 8 pagi esoknya. Terlekakah kita?

2. Jika tidak, bagaimana pula dengan kita melayari (surfing) internet sehingga awal pagi dan 'terlupa' untuk bangun subuh tepat pada waktunya? Saya tahu, seboleh-bolehnya kita ingin sekali mengelakkan hal ini tapi mungkin kita 'terleka seketika'.

3. Bagaimana pula dengan kita lebih tertumpu dengan pelbagai program dalam komputer sehingga terlupa untuk membuat kerja rumah dan assignment yang lebih penting.

4. Kita lebih banyak menonton drama, anime dan filem (movies) yang dimuat turun di dalam cakera keras (hard disk) daripada menelaah buku-buku ilmiah.

Rasanya cukup dulu untuk kelekaan. Bercakap tentang perkara-perkara negatif begitu menyakitkan kerana kadang-kadang kita sendiri tidak dinafikan terlibat. Di saat ada sedikit kesedaran beginilah barulah mata sedikit terbuka untuk menilai kembali apa yang telah kita lakukan selama ini. Lalu selepas ini, bila kesedaran itu hilang, sekali lagi kita terleka.

No comments: